Khamis, 22 April 2010

Perutusan Mursyidul Am PAS Untuk Pengundi Hulu Selangor


http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc3/hs420.snc3/25306_388343707591_358919387591_4523558_2463955_n.jpg

Assalamu'alaikum warahmatullahi wa barakatuh, dan Salam Sejahtera.

Firman Allah SWT (al-An'am 6:162),

Maksudnya, "Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."

Sesungguhnya, segala puji-pujian yang tidak terhingga kepada Allah Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam. Puji-pujian juga yang teramat tinggi kepada Nabi Muhammad Pesuruh Allah, Nabi pengakhir zaman.
Didoakan kepada semua pengundi bagi pilihan raya kecil P.094 Hulu Selangor berada di dalam keselamatan dan kesejahteraan hendak-Nya.

Tuan-puan, dan saudara-saudari yang dihormati sekalian.
Bersempena dengan musim kempen pilihan raya ini, sukacita saya mengingatkan diri saya dan menyampaikan ingatan sama kepada sidang pengundi sekalian yang bakal mengundi pada hari Ahad, 25 April 2010 nanti.

Jadilah ingatan ini sebagai panduan utama untuk sidang pengundi sekalian menjadi seorang yang berhak mengundi, menunaikan tanggungjawab mengundi dan memangkah kertas undi dengan pasangkan niat , "sesungguhnya aku mengundi untuk menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat."

Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.

Perkara pertama kita kena tahu, betapa Umno telah menghancurkan simbol Bulan Bintang yang dipakai oleh PAS pada tahun 1971. Sedangkan pada PAS, Bulan Bintang itu mempunyai makna yang besar dari segi mendidik rakyat kepada cara hidup beragama. Pertama, Bulan Bintang itu dipakai di atas menara masjid-masjid –– rumah Allah Tuhan yang Maha Kuasa. Kedua, Bulan Bintang adalah simbol bagi PAS untuk menghidup dan menghayati serta melaksanakan falsafah hidup beragama (muslim sejati) berteraskan doa iftitah yang selalu dibaca ketika permulaan sembahyang. Doa yang dimaksudkan ialah "sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku adalah kerana Alllah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam (Lillahi Rabbi 'alami)." Oleh sebab itu, melalui simbol Bulan Bintang apabila dilihatnya, maknanya seseorang diajak untuk mengingati tanggungjawab beragama –– sembahyang dan beribadat, serta memikirkan soal hidup dan mati. Dengan cara itu, harapan PAS supaya rakyat sentiasa berada di dalam kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni.

Akibat daripada larangan penggunaan simbol Bulan Bintang itulah dapat dilihat hari ini, bila mana rakyat hari ini begitu bercelaru amalan hidupnya –– terbabit dengan segala amalan maksiat dan kerosakan akhlak serta berlaku amalan hidup yang berlawanan dengan apa yang ucapkan di dalam solat. Di samping berlaku tingkah laku yang di luar daripada sifat kemanusiaan seperti membuang bayi dan pembunuhan sesama insan.

Perkara kedua yang perlu diingati ialah tindakan pemimpin Umno yang telah menghapuskan penggunaan tulisan jawi. Tulisan jawi juga dihapuskan dalam pendidikan di sekolah. Ia berlaku zaman Almarhum Khir Johari, menghapuskan pengajaran dan penggunaan tulisan jawi itu.

Kesannya ramai orang Melayu, khususnya generasi sekarang tidak pandai membaca dan menulis jawi. Sedangkan jawi adalah tulisan dan bahasa al-Quran, dan ia adalah warisan ilmu orang Melayu zaman berzaman. Maka, ia bukan sekadar menghapuskan budaya ilmu yang menjadi medium pendidikan utama orang Melayu, malah orang Melayu kini amat dangkal dengan pengetahuan al-Quran kerana mereka sudah tidak pandai membaca al-Quran. Inilah bahananya dasar Umno.

Rakyat kena persoalkan, kemana Umno nak bawa rakyat. Nak kata Umno nak bawa ke jalan agama, jelas Umno sudah buat banyak perkara yang bercanggah dengan kehendak Islam seperti melarang guna Bulan Bintang dan tulisan jawi.
Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.

Pekara ketiga, layak juga dipersoalkan kepada pemimpin Umno, apakah tujuan sebenar Umno lawan sangat PAS ini? Sedangkan PAS sudah diakui sebagai parti yang berjuang untuk Islam, demi untuk melaksanakan pentadbiran dan mengamalkan sistem masyarakat Islam di Negara ini. Boleh jadi, Umno lawan PAS atas dasar demokrasi.

Jika begitu, kaedah demokrasi sebenarnya mengajar kita supaya berlaku adil kepada semua pihak. Apabila bertanding dalam pilihan raya, hendaklah mengamalkan pilihan raya yang adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok. Jika PAS menang, kena terima itu mandat rakyat dan perlu dihormati. Persoalannya, apa pasal pula Umno begitu gah kononnya berjuang ikut demokrasi, tetapi prinsip demokrasi tidak sedikit pun dipatuhi?

Tengok saja atas isu wang royalti petroleum. Sekian lama negeri Terengganu di bawah kuasa BN, royalti minyak dibayar kepada kerajaan negeri . Tetapi bila saja PAS menang di Terengganu tahun 1999, setahun selepas itu royalti sudah ditarik dan ditukar pula kepada wang ihsan. Itupun sudah tidak diberi kepada kerajaan negeri. Ia disalur terus kepada Umno bahagian. Semuanya adalah bukti Umno sendiri tidak hormat, malah melakukan perkara yang bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Benarlah Umno yang mendakwa berpegang dengan prinsip demokrasi, hakikatnya Umno tidak mematuhi prinsip demokrasi.

Cuba kita renungkan sedikit, bagaimana Islam pula mengajar umatnya berjuang. Sesungguhnya Islam adalah lebih bertamadun berbanding demokrasi, kerana demokrasi tidak mengajar soal dunia dan akhirat. Namun, Islam dikatakan lebih bertamadun kerana mengajar kita dengan prinsip bahawa 'apa saja yang kita perjuangkan, semuanya akan disoal oleh Allah SWT di akhirat.' Prinsip seumpama ini adalah selari dengan prinsip 'sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku, semuanya kerana Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.' Barang ini (prinsip ini) tidak ada dalam perjuangan Umno.

Sebab itulah kita berani katakan bahawa perjuangan Umno adalah perjuangan sekular. Lebih-lebih lagi, Umno dilihat lebih mengutamakan pembangunan berteraskan kebendaan semata-mata. Maka, tidak ada bezanya perjuangan Umno itu dengan perjuangan parti politik di Barat yang mementingkan pembangunan dan kemajuan semata-mata. Sebab itulah, perjuangan Umno mengasingkan prinsip agama dengan politik. Maka jadilah Umno sebagai parti sekular, iaitu sebuah parti yang mengamalkan politik suku, agama suku. Ia memberi makna, semacam kerja politik tiada kaitan dengan dosa dan pahala lagi. Sebab itulah ada pemimpin Umno berani melakukan segala amalan politik yang bercanggah dengan ajaran agama. Mereka mengamalkan politik wang, politik ugut dan politik paksa. Sedangkan kesemuanya itu bercanggah dengan ajaran Islam dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW.

Tuan-puan, dan saudara-saudari sidang pengundi yang dikasihi sekalian.

(Akhirnya), perkara keempat mengenai perjuangan Umno ialah amalan salah Umno yang sentiasa mengasing-asingkan rakyat dengan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum. Akibat amalan salah Umno itu, akhirnya orang Melayu dibeza-bezakan dengan bukan Melayu. Dan paling salah membeza-bezakan antara Melayu yang sokong Umno sebagai Melayu-Umno dan yang sokong PAS sebagai Melayu-PAS.

Kemudian berlaku pula pengasingan antara hak Melayu dengan hak bukan-Melayu, diikuti pula hak Melayu-Umno dengan hak Melayu-PAS. Paling teruk juga, orang Melayu-PAS telah dibeza-bezakan dari segi jawatan dan kenaikan pangkat, subsidi dan bantuan, dan hak-hak antara negeri diperintah Umno-BN dengan negeri diperintah PAS-Pakatan Rakyat. Seperti juga berlaku pada akhir-akhir ini, bila mana persoalan wang royalti petroleum untuk Kelantan sendiri tidak diberikan kepada kerajaan negeri, sedangkan kepada kerajan negeri Sabah dan Sarawak terus diberi. Apa yang berlaku, 'royalti' ditukar kepada 'ihsan' dan pemberian ihsan pula adalah kepada Umno bahagian.
Demikianlah, buruknya amalan membeza-bezakan itu. Ia telah mendera rakyat Kelantan, kerana kerajaan negeri Kelantan hari ini adalah dipilih atas hak dan kehendak rakyat. Amalan Umno sebegitu telah menepikan langsung nilai keadilan yang diajar oleh Islam. Sekaligus bertentangan dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya. Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itupun adalah disatukan di bawah satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam AS.

Oleh itu, kembalilah kita kepada ajaran Islam dan mengamalkan cara hidup beragama. Sesungguhnya sistem Islam adalah benar dan adil untuk semua kaum. Ingatlah, firman Allah (surah Ali-Imran 3:102-103),

Bermaksud, "wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai ."

Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Menolak perjuangan Umno sudah pasti membebaskan diri kita daripada segala-gala amalan salah.

Sehubungan itu, saya menyeru dan merayu kepada sekalian pengundi Hulu Selangor yang budiman lagi bijaksana, undilah calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim dari parti KeADILan. Saya penuh yakin dan percaya di atas pengalamannya selaku bekas ahli parlimen dan menteri kabinet, sesungguhnya beliau mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk membela dan menunaikan harapan rakyat di parlimen Hulu Selangor. Keluarlah mengundi beramai-ramai, jangan hiraukan ugutan Umno-BN dan selamat mengundi.

Semuga tuan-puan, dan saudara-saudari sekalian dirahmati Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

"Harapan Baru Malaysia"
*** PAS UNTUK SEMUA ***

Sekian.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Mursyidul Am PAS

http://www.blogtokguru.com/

Untung Jika Pilih Zaid - Haji Husam

HULU SELANGOR, 22 April : Rakyat di Hulu Selangor beruntung jika calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim menjadi ahli parlimen mereka, kata Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa (gambar).

Husam sewaktu berceramah di Batang Kali malam tadi berkata, dengan adanya seorang wakil rakyat dari pakatan akan mendorong tiga lagi Adun BN di Hulu Selangor bersaing menunjukkan khidmat mereka.

"Sekiranya ketiga-tiga Adun dari BN dan Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat, kita akan melihat persaingan yang akhirnya menguntungkan rakyat.

"Kalau nakkan satu saluran supaya wakil rakyat kita boleh berhubung dengan pengundi di Hulu Selangor, kita memerlukan seorang wakil rakyat yang terbaik," katanya.

Tambahnya lagi, Zaid jauh lebih berpengalaman dari calon BN, Kamalanathan untuk membela rakyat Hulu Selangor.

Zaid, katanya mampu membawa isu-isu kritikal rakyat ke parlimen kerana pernah menjawat jawatan menteri kabinet sebelum ini.

Beliau memberi contoh isu ISA yang menyebabkan Zaid meletakkan jawatan menteri kerana mempertahan perinsipnya iaitu menentang ISA.

"Kamalanathan adalah wakil rakyat BN dan mustahil untuk seorang wakil rakyat BN untuk mempertikai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kepincangan pengurusan ekonomi negara, angkara Umno," katanya.

Zaid menurut Husam mempunyai kebolehupayaan dan profesionalisme selain tahap pendidikan dan pengalaman sebagai pengamal undang-undang.

Berbanding dengan Kamalanathan, beliau berkata, rakyat masih tertanya-tanya tentang rekod pendidikan serta profesionalisme calon MIC tersebut

Sehubungan itu, beliau mengganggap Zaid jauh lebih berprinsip serta berkelayakan mewakili rakyat Hulu Selangor di Dewan Rakyat kelak, berbanding Kamalanathan.

Menyentuh isu royalti Kelantan pula, Husam berkata kerajaan BN lebih mengutamakan syarikat asing yang ada kepentingan Zionis Israel dari rakyat sendiri.

Ianya merujuk kepada pelantikan firma perunding APCO Worldwide yang dilantik kerajaan dalam sektor telekomunikasi negara dengan bayaran RM76 juta.

"Mereka sanggup bayar kepada APCO Zionis Israel RM76 jta tetapi untuk 1.6 juta orang rakyat Kelantan, mereka bayar hanya RM20 juta sahaja," katanya.

Ahad, 18 April 2010

Majlis Penyerahan Kunci Projek Bandar Baru Tunjung

Pagi esok (Isnin: 19hb. April, 2010), satu Majlis Penyerahan Kunci Projek Bandar Baru Tunjung akan diadakan di Tapak Projek Bandar Baru Tunjung (bersebelahan dengan tapak Projek Tanaman Padi Organik).

Majlis akan diadakan pada jam 10:00 dan akan dihadiri oleh EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Haji Husam Musa dan beliau akan menyerahkan kunci kepada para penerima dalam Majlis pagi esok.

Semua dijemput hadir.

Khamis, 15 April 2010

Rakyat Kelantan Gemar Belanja & Bayar Tunai

Sikap rakyat Kelantan yang gemar berbelanja dan membuat pembayaran secara tunai adalah antara faktor utama syarikat pelancongan Bumiputera, Al-Quds Travel Sdn.Bhd. terus maju dan mampu berdiri kukuh dengan menyaksikan peningkatan pendapatan setiap tahun.

Pengarah Urusan Al-Quds Travel Sdn.Bhd. Wan Mohd Zamri Wan Salleh berkata sikap rakyat Kelantan itu disifatkan satu keistimewaan yang secara tidak langsung telah membantu mengukuhkan kewangan dan pendapatan syarikat berkenaan.

"Sehingga kini, sejak sepuluh tahun penubuhan syarikat ini bermula tahun 2000, pihak kita belum pernah mengalami masalah kekurangan pendapatan dan mencatatkan peningkatan membabitkan pelbagai jualan pakej pelancongan ditawarkan sesuai dengan kehendak pelanggan."

"Bermula dengan pendapatan sebanyak RM1 juta pada tahun 2000, Al-Quds pada tahun lepas memperolehi pendapatan RM17 juta dan yang uniknya pendapatan itu disumbangkan 100% oleh rakyat Kelantan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran agen Yang Dilantik MAS di sini Rabu.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Urusan MAS Datuk Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz.

Wan Mohd Zamri berkata sikap rakyat Kelantan yang gemar berbelanja secara tunai meskipun dalam jumlah yang besar juga mendorong syarikat terbabit mencatatkan keuntungan setiap tahun.

"Orang Kelantan memang suka berbelanja secara tunai dan ada yang bayar tunai RM50,000 terus di atas meja... itulah sikap dan keistimewaan rakyat Kelantan menyebabkan kita di Kelantan boleh berjaya kerana mereka mempunyai kuasa berbelanja yang hebat," katanya.

Selain itu, beliau berkata rakyat kelantan juga dilihat kerap melancong ke luar negara terutama menunaikan haji dan umrah.

"Rakyat Kelantan kerap menunaikan umrah dan pada suku pertama tahun ini juga Al-Quds Travel telah menghantar kira-kira 600 orang menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah.

"Dalam tempoh yang sama juga, lebih 400 orang rakyat Kelantan lagi telah ke negara China selain destinasi pilihan lain di seluruh dunia termasuklah negara Eropah dan juga Jepun," katanya.

Wan Mohd Zamri berkata, pemilihan destinasi itu bagaimana pun berdasarkan kepada dua faktor iaitu membabitkan acara peringkat antarabangsa seperti Sukan Olimpik dan juga tanggungjawab pada agama.

"Setiap orang Islam akan mempunyai hasrat untuk pergi umrah dan bilangannya sentiasa bertambah, mereka akan pergi ke sana (menunaikan umrah) meski pun terpaksa berdepan peningkatan harga tiket (penerbangan), tetapi permintaan sentiasa ada," katanya.

Wan Mohd Zamri berkata Al Quds Travel melantik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai agen bagi membolehkannya menikmati keutamaan dalam tempahan tiket pelanggan danm menerima diskaun lebih murah bagi destinasi yang dilalui syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, Datuk Tengku Azmil Zahruddin berkata jalinan kerjasama antara MAS sebagai agen yang dilantik Syarikat Al-Quds Travel Sdn Bhd merupakan satu usaha untuk memajukan bidang pelancongan di Kelantan dan Kota Baharu khususnya.

Menurutnya, pengalaman Al Quds Travel yang telah berfungsi sebagai agen pelancongan selama hampir sepuluh tahun menjadikan pihaknya yakin untuk bekerjasama dan memberikan keistimewaan kepada pelanggan syarikat itu.

Al-Quds Travel Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2000 dengan tumpuan awal membabitkan pakej umrah dan sehingga kini mempunyai cawangan di Kuala Lumpur, Kuching, Sarawak, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuantan, Pahang.

Selain itu, selain menyediakan kemudahan pelancongan, Al-Quds Travel turut menyediakan kemudahan penginapan iaitu Al-Quds Hotel & Resort, yang kini sudah beroperasi di Wisma Al-Quds di sini.

Rabu, 14 April 2010

Wang Ihsan: GEGAR Buat Laporan Polis

Gerakan Bertindak Kembalikan Ro-yalti Rakyat (Gegar) membuat laporan polis terhadap pengagihan wang ihsan yang dibuat oleh Kerajaan Pusat di Sekolah Menegah Kebangsaan Hamzah Machang, 3 April lepas.

Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu itu bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat adakah penyaluran wang itu bertentangan dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Pengerusinya, Dr Abdul Halim Yusof berkata, siasatan terperinci perlu dibuat memandangkan kerajaan mengatakan wang ihsan yang diberikan adalah diambil dari sumber penggerudian petroleum dari kawasan perairan Kelantan.

"Oleh itu, siasatan itu perlu bagi melihat bagaimana pengagihan dan penggunaan wang ihsan dilakukan termasuk cara pengagihan melalui agensi Kerajaan Persekutuan dan bukan Kerajaan Negeri seperti maksud dalam akta tersebut," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan, di sini, semalam.

Turut hadir memberi sokongan Ketua Pemuda Pas negeri, Abd Latif Abd Rahman

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat kunjungan sehari Kelantan 3 April lalu menyerahkan agihan wang royalti kepada pelajar sekolah rendah yang layak menerima bantuan tersebut.

Dalam pada itu, Dr Abdul Halim berkata, sekiranya wang tersebut tiada kaitan dengan penghasilan petroleum, adalah perlu polis menyiasat dari mana peruntukan RM25 juta wang tersebut diambil.

"Adakah ia diambil dari bajet yang diluluskan melalui Akta Bekalan? Saya mengharapkan penyiasatan dibuat untuk memastikan ketelusan dan tiada penyelewengan dalam penggunaan harta rakyat," katanya

Katanya, laporan itu perlu dibuat bagi menunjukkan bahawa rakyat tidak merestui apa yang dilakukan Kerajaan Pusat dengan bertentangan dengan undang-undang yang termaktub.

Dalam pada itu, Abd Latif berkata, Pemuda Pas akan terus menyokong tuntutan yang dibuat oleh mana-mana badan dan organisasi yang menyokong tuntutan royalti.

"Sokongan ini diberikan kepada semua pihak yang menyokong tuntutan. Kita tidak boleh menerima cara yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang jelas melanggar hak rakyat Kelantan," katanya.

Sabtu, 10 April 2010

Tangki Air Sementara Untuk Kampung Langgut, Dewan Beta

Masalah kekeringan tali air di Kampung Langgut - Dewan Beta, Pasir Mas yang membawa kepada masalah bekalan air bersih dan telah berlanjutan sejak beberapa bulan yang lalu akhirnya berjaya diselesaikan hasil campurtangan EXCO Kerajaan Negeri Kelantan - Dato' Haji Husam Musa.

Pada hari khamis lalu, sebuah tangki air sementara berkapasiti 1,800 gelen air telah ditempatkan buat sementara waktu di kampung berkenaan sementara kerja-kerja pemasangan paip air bersih sepanjang lebih kurang 1 kilometer dimulakan setelah segala proses diselesaikan dengan pihak Air Kelantan.

[berita penuh bakal menyusul]

Tali air di Kampung Langgut yang semakin kering akibat kemarau.
Perigi yang menjadi sumber bekalan air penduduk kampung sebelum ini.

Tangki air sementara yang ditempatkan di Kampung Langgut dengan kapasiti air sebanyak 1,800 gelen.

Pegawai Khas Dato' Haji Husam Musa - Encik Kamarulzaman Haji Abdullah berbincang sesuatu dengan CEO PMBK - Ir Mustafa Salleh dan juga Penghulu Mukim Dewan Beta - Encik Ayub.

Jumaat, 9 April 2010

Adik Muhammad Fahrin Shakirin

Penyeri keluarga ke-2 pasangan Muhammad Fazrol dan Sofeenaz Ruhana ini lahir pada bulan Jun, 2007 - kurang sebulan dari tarikh dijangka melihat Alam ciptaan Allah, Pencipta seluruh alam. Dia yang menjadikan kita dan Dia yang lebih berhak menentukan segalanya. sebagai makhluk ciptaan-Nya, kita hanya mampu merancang, berusaha berdoa dan berserah kepada-Nya.

Lahir dalam keadaan tidak cukup bulan (8 bulan dalam kandungan) berkemungkinan besar untuk seseorang bayi itu dihidapi penyakit sejak lahir dan inilah yang berlaku kepada adik Muhammad Fahrin Shakirin di mana dalam usia 2 bulan, anak istimewa ini disahkan oleh Doktor sebagai penghidap penyakit Jantung Berlubang.

Mujur juga keadaan kesihatan adik Fahrin tidak selalu terganggu seperti anak-anak istimewa yang lainnya yang juga mengidap penyakit kronik ini. hari-hari lainnya, anak istimewa ini membesar seperti sediakala,

Seperti anak-anak kecil lainnya, adik Fahrin juga menjalani kehidupan yang lasak, sama seperti rakan-rakan sebayanya. bezanya adik Fahrin tidak dapat bertahan lama, badan anak kecil ini lekas letih, simptom biasa bagi pesakit-pesakit jantung berlubang.

Setiap bulan anak ini akan dibawa oleh ibu-bapanya ke Hospital untuk pemeriksaan dan rawatan susulan. rutin biasa yang dijalani sejak lebih 2 tahun lalu. Hospital, pemeriksaan, rawatan dan ubat-ubatan adalah perkara biasa bagi si kecil ini. bersyukur kita kerana kita diberi nikmat yang lebih oleh sang Pencipta.

Alhamdulillah sujud syukur kepada Allah kerana limpah kurnia-Nya kepada kita.

Beberapa bulan lepas, anak kecil ini telah ditahan di wad selepas tubuhnya lemah dan pihak Hospital telah memaklumkan bahawa penyakit jantung Fahrin telah menjadi semakin serius dimana Fahrin bukan sahaja menghidap penyakit jantung berlubang, malahan jantungnya juga telah mula membengkak dan paru-parunya juga telah dijangkiti kuman.

Tubuh anak kecil ini mula kelihatan lemah dan pucat.

Pihak Hospital juga telah memaklumkan kepada pasangan Fazrol dan Sofeenaz bahawa anak istimewa ini perlu menjalani pembedahan untuk memulihkan penyakit jantung berlubangnya supaya kelak, tidak akan bermasalah di kemudian hari.

Kos pembedahaan sebanyak RM12,000 perlu diusahakan. tarikh pembedahan telah ditetapkan oleh pihak Hospital iaitu pada 12hb. April, 2010 dan akan dilakukan di Institut Jantung Negara. terlepas tarikh ini, bermakna 1 kerugian kerana listing pesakit jantung berlubang bukan sedikit. beribu-ribu lagi anak-anak istimewa lainnya menunggu peluang keemasan ini.

Bapa kepada anak Istimewa ini, Encik Muhammad Fazrol dan isterinya Sofeenaz Ruhana bukanlah orang berada yang hidupnya mewah. sekadar bekerja sendiri membuat berbagai kerja-kerja kampung seperti orang kebanyakan membuatkan keluarga ini agak resah memikirkan kos pembedahan sebanyak RM12,000 yang terpaksa disediakan demi masa depan anak mereka.

Berbagai usaha telah dilakukan tetapi tidak mamungkinkan untuk mereka menyediakan jumlah wang tersebut sebelum tarikh yang ditetapkan.

Syukur juga bila ada yang mengesyorkan supaya keluarga ini mencuba untuk memohon bantuan kewangan daripada Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan sebagai jalan terakhir.

Semua prosedur permohonan dipenuhi mengikut proses dan hari ini, sekeping cek bernilai RM8,000 diterima keluarga ini hasil sumbangan Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan dibawah program Kebajikan dan diharap ianya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga ini.

EXCO Kerajaan Negeri Kelantan - Dato' Haji Husam Musa melalui Pegawai Khasnya Encik Kamarulzaman Haji Abdullah telah menyampaikan sumbangan tersebut di Pejabatnya di SUK tengahari tadi setelah selesai semua urusan dan proses yang perlu dipenuhi.

*Dato' Haji Husam Musa tidak dapat menyampaikan sendiri bantuan tersebut kerana terpaksa bertolak ke Negara China malam tadi atas urusan Rasmi.

Sama-sama kita berdoa memohon kepada Allah agar pembedahan adik Muhammad Fahrin Shakirin berjalan dengan selamat dan lancar. anak-anak kecil ini adalah generasi masa depan yang bakal memangkir negara tercinta kita Malaysia dan seharusnya anak-anak kecil ini diberi sebaik-baik perhatian agar tidak sukar bagi mereka menempuh masa depan.

Anak-anak sebagai mutiara, ini bukan pemberian dari Allah. anak-anak adalah "anugerah" dari Allah. belailah mereka sebaik-baiknya, berikan yang terbaik untuk mereka. sedangkan binatang yang tiada berakal mengasihi anak mereka, apa lagi kita yang diberi akal.

Pegawai Khas Dato' Husam Musa - Kamarulzaman Haji Abdullah menyampaikan cek berjumlah RM8,000 kepada Encik Muhammad Fazrol sebagai sumbangan dari Kerajaan Negeri Kelantan bagi meringankan beban keluarga ini.
Adik Muhammad Fahrin Shakirin dan ibunya Puan Sofeenaz Ruhana.

Selasa, 6 April 2010

Brunei Lebih Takutkan Laknat Dari Allah

Bandar Seri Begawan (Brunei) - Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Zain Serudin menolak usul ahli Parlimen, Goh King Chin supaya zon khas jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam.

Zain menegaskan, andai ia diwujudkan, Brunei yang mengharamkan penjualan arak pasti dilaknat Tuhan.

"Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja tapi semua yang berada di negara ini.

"Pelancong yang ingin minum arak boleh minum di negara mereka, malah mereka boleh mandi arak.

"Hari ini mereka mahu zon arak, lepas ini mungkin zon pelacuran, kasino. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran," tegasnya. - AP

Sumber - myMetro

Hairan, pelik dan ajaib... kenapa Negara Malaysia yang Pimpinan Tertingginya dari Parti UMNO/BN tidak berani mangambil tindakan yang sedemikian?

Isnin, 5 April 2010

Status "Wang Ehsan" Boleh Di Cabar Di Mahkamah - Ku Li

Status "Wang Ehsan" yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada Negeri Kelantan dan Terengganu pada masa ini bagi menggantikan pembayaran Royalti Petroleum dan Gas boleh dicabar di mahkamah.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ini kerana status tersebut ("Wang Ehsan") tiada dalam peruntukan mana-mana Akta berkaitan Petroleum dan Gas bagi tujuan mengubah bayaran Royalti yang berupa Wang Tunai.

"Apa juga boleh kita bawa ke mahkamah kerana tidak ada sesiapa boleh menyekat (bawa ke mahkamah) kalau kita tidak puas hati cuma tinggal lagi, samada proses itu (mahkamah) akan mendatangkan faedah atau tidak kepada kita"

"Pada pendapat saya, memang tidak boleh bayar "Wang Ehsan" sebab tiada peruntukan dalam Akta Kemajuan Petroleum ataupun ataupun dibawah Perjanjian yang saya tandatangani dulu".

"Jadi, kalaulah Kerajaan Pusat hendak buat apa yang dia suka (pemberian "Wang Ehsan"), itu dia punya kuasa, dia punya hak, tetapi pendapat kita dan Undang-Undang yang termaktub adalah berlainan".

Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan demikian ketika hadir dalam satu Ceramah Perdana bertajuk "Perjanjian Sabah, Petronas dan Kerajaan Persekutuan" di Dewan Hongkud Kolsan di Penampang, Sabah pada 2hb. April, 2010 lepas.

Turut hadir dalam Majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi SUHAKAM - Tan Sri Simon Sipaun, Pengerusi DAP Sabah - Dr Hiew King Chiew dan Ahli Majlis Tertinggi PKR - Ansari Abdullah.

Ahad, 4 April 2010

TGNA Di Majlis Pelepasan Peserta Kelantan Biker Week

YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi tadi telah hadir untuk upacara pelepasan (Flag Off) Para Peserta Konvoi Kelantan Biker Week di Perkarangan Stadium Sultan Mohammad IV.

Para Peserta yang datang dari seluruh pelusuk Negara Malaysia dan juga Asia antaranya dari Brunei, Singapura, Argentina, Thailand dan lain-lain Negara Asia kali ini menjadikan Negeri Kelantan sebagai Pusat "Gathering" tahunan mereka yang ke-4.

Dianggarkan hampir 1000 buah motorsikal berkuasa tinggi antara 500-1800cc telah menyertai Konvoi Amal ke sebuah Pusat Pemulihan Remaja di Pasir Putih, Kelantan manakala keseluruhan Peserta yang menyertai Kelantan Biker Week pula dianggarkan seramai lebih dari 2000 orang yang melibatkan lebih dari 2000 buah motorsikal berkuasa tinggi dari seluruh Negara Malaysia dan juga Asia.







"Mini Jambori" Rakan-Rakan Facebook

Oleh - Dato' Haji Husam Musa

Satu "Mini Jamboree" untuk Rakan-Rakan Facebook akan diadakan di Lembah Klang bagi tujuan memupuk persahabatan dan juga kutipan derma untuk Tabung Salor Care yang saya terajui bagi DUN Salor.

Tentative date ialah pada bulan Julai 2010. tetamu jemputan istimewa ialah Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Apa-apa cadangan amat dialu-alukan.

Lawatan Kerja LKKPP Ke Projek Padi Organik

Satu Lawatan Kerja ke Projek Tanaman Padi Organik di Tunjung, Salor oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) dibawah Program Gerak Gempur PRU13 telah diadakan petang semalam melibatkan hampir 50 peserta dari seluruh Malaysia.

Peserta Program yang diketuai oleh Haji Zainal tiba ke Tapak Projek Tanaman Padi Organik lebih kurang jam 6.30 petang dengan sebuah bas selepas selesai Program sebelumnya di Pasir Putih, Kelantan.

Ketibaan para peserta disambut oleh isteri kepada YB Dato' Haji Husam Musa, Datin Ruhana Abdul Rahman dan keluarganya yang telah sedia menunggu kedatangan para tetamu seawal jam 3.30 petang manakala YB Dato' Haji Husam pula terpaksa pulang awal kerana perlu bergegas ke Kuala Lumpur untuk Program pada sebelah malamnya.

Para tetamu kemudiannya diberi sedikit penerangan berkenaan dengan Projek Tanaman Padi Organik oleh Penyelia Projek, Pak Aep.

Selepas sessi penerangan, sedikit cenderahati berupa Produk dari Padi Organik telah disampaikan oleh Datin Ruhana Abdul Rahman kepada para peserta yang datang dari jauh.

Para peserta kemudiannya dijamu dengan sedikit jamuan kecil yang terdiri dari masakan-masakan bersumber dari Projek Tanaman Padi Organik seperti nasi dari Beras Organik dan lauk-pauk segar dari Sawah Padi Organik.








Apa yang dimaksud dengan Padi Organik?

Padi organik adalah padi yang disahkan oleh sebuah badan bebas, untuk ditanam dan diolah menurut standard ‘organik’ yang ditetapkan.

Walau tidak ada satupun definisi untuk “organik”, kebanyakan definisi memiliki elemen umum. Misalnya, “organik” sebagaimana digunakan pada kebanyakan tanaman sawah yang umumnya bererti bahawa:
1. Tidak ada racun serangga dan baja dari bahan kimia sintetis atau buatan yang telah digunakan.

2. Kesuburan tanah dipelihara melalui proses “alami” seperti penanaman tumbuhan penutup dan/atau penggunaan baja kandang yang dikompos dan limbah tumbuhan.

3. Tanaman dirotasikan di sawah untuk menghindari penanaman tanaman yang sama dari tahun ke tahun disawah yang sama.

4. Pergantian bentuk-bentuk bukan kimia dari pengendalian hama digunakan untuk mengendalikan serangga, penyakit dan gulma. misalnya serangga yangbermanfaat untuk pemangsa hama, jerami setengah busuk untuk menekan gulma, dan lain-lain.
Mengapa padi organik?

Produk “organik” terutama di pasar-pasar maju biasanya menerima harga yang lebih tinggi. Produk organik juga sering dianggap sebagai memiliki manfaat kesehatan yang lebih besar.

Sabtu, 3 April 2010

Taklimat & Penerangan Isu-Isu Terkini

Siang tadi bertempat di PUTIK, Pengkalan Chepa, Kota Bharu berlangsung sessi Taklimat dan Penerangan Isu-Isu terkini.

Majlis dimulakan lebih kurang jam 9.00 pagi dan dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato' Muhamad Yaakob, EXCO Kerajaan Negeri Kelantan Dato' Haji Husam Musa dan juga Ustaz Idris Ahmad.

Antara Isu-Isu yang dikupas ialah Isu APCO dan Royalti Petroleum dan Gas Kelantan.




Apco - oleh Tian Chua

Hari ini Selasa, 30 Mac 2010, ahli-ahli parlimen Barisan Nasional sedang bersedia untuk menyembelih Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ulasannya terhadap APCO. Ahli-ahli parlimen ini mungkin berfikir mereka melakukan hal yang betul dengan mempertahankan Najib dan syarikat perundingnya yang hebat itu.

Dalam fikiran kebanyakan ahli parlimen BN, mempertahankan kerajaan sama dengan mempertahankan tanahair. Dengan logika songsang yang sama, orang yang mengkritik kerajaan semudahnya digelar pengkhianat Malaysia.

Saya dengan berlapang dada, mengajak kawan-kawan di sebelah sana untuk berfikir dengan lebih jauh lagi, melihat dengan lebih dalam lagi. Sebetulnya, ianya tidaklah terlalu sukar untuk mencari kaitan hubungan APCO dan Israel.

Namun sebelum saya pergi lebih jauh lagi, saya perlu menerangkan bahawa perbincangan ini tidak ada kena mengena dengan "persoalan tentang Yahudi." Ada perbezaan yang cukup luas di antara menjadi Yahudi dan menganut ideologi Zionisme.

Rakyat Malaysia selalu berbangga dengan mengisytiharkan kebersamaan terhadap rakyat Palestin yang tertindas. Kita juga mengekalkan dasar luar negara yang bebas dan memiliki rekod panjang melatakkan komitmen pada prinsip dan perjuangan Gerakan Negara-negara Berkecuali.

Dalam konteks ini, apakah teramat sukar untuk memahami bagaimana Perdana Menteri membayar khidmat firma yang terkenal dengan hubungan gelapnya dengan gerakan Zionisme antarabangsa? Kenapa perlu kita percaya sebuah syarikat dengan agenda Zionis mengendalikan hubungan komunikasi strategi Malaysia?

Ia bukan hanya sekadar sebuah syarikat Yahudi.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menimbulkan beberapa kritikan di parlimen berkenaan persamaan di antara slogan 1 Malaysia dan 1Israel. Beliau juga mencabar kerajaan untuk menjelaskan perbelanjaan berjumlah RM23 juta wang pembayar cukai kepada APCO.

Terdapat juga persoalan tentang kenapa Najib dan kerajaannya tidak melibatkan firma perhubungan awam tempatan bagi menjalankan kerja hubungan komunikasi tersebut?

Menurut kenyataan APCO sendiri, tanggungjawabnya meliputi ruang lingkup yang cukup lebar melangkaui komunikasi "tugas APCO termasuklah dokongan komunikasi terhadap usaha-usaha reformasi yang luas yang sedang diambil kerajaan Malaysia, terutamanya dalam bidang mencipta peluang pekerjaan, mempromosikan pendidikan serta memperkasa penyampaian khidmat kepada rakyat."

Malahan, ianya cukup aneh bahawa penjelasan ini tidak datang dari Najib ataupun Pejabat Perdana Menteri.

Asas utama Pakatan Rakyat menimbulkan perkara ini bukanlah untuk meraih sokongan politik tetapi kerana keprihatinan yang jujur berhubung soal keselamatan negara.

APCO Worldwide berpusat di kota Washington DC dan memiliki 23 buah pejabata di seluruh dunia termasuklah di Tel Aviv, Israel. Menjadi pengetahuan umum orang-orang penting dan penasihat APCO berhubung kait dengan Zionis Israel, seperti Shimon Shein (bekas Duta Israel ke Jerman), Itamar Rabinovich (bekas duta Israel ke Amerika Syarikat),

Kita mungkin berkata habis itu apa?

Namun APCO tidak boleh menafikan operatornya di Tel Aviv memiliki hubungan rapat dengan bekas Perdana Menteri Israel Yishak Rabin. APCO di Israel mengendalikan kerja-kerja pembangunan strategik dan berbagai bentuk komunikasi untuk syarikat korporat ataupun organisasi kerajaan.

Selanjutnya, perhubungan di antara Israel dan APCO lebih dari sekadar memiliki pejabat di Tel Aviv. Kegiatan APCO di negara Zionis melampaui sektor orang awam. Perlu diingatkan anggota Majlis Penasihat Antarabangsa APCO Doron Bergerbest-Eilon,merupakan bekas ketua keselamatan untuk kerajaan Israel

APCO dan ASERO

Hubungan APCO dengan pelbagai projek risikan dan berkait keselamatan dilakukan menerusi hubungan strategik dengan syarikat saudaranyaASERO Worldwide. Kepakaran APCO adalah dalam bidang komunikasi, manakal ASERO pula pakar dalam keselamatan dalam negeri dan perunding pengurusan risiko.

APCO dan ASERO mempunyai anggota perunding dan pengurusan yang bertingkah keahliannya. Misalnya Doron Bergerbest-Eilon yang duduk sebagai anggota Majlis Penasihat Antarabangsa APCO merupakan orang yang terlibat menubuhkan dan menjadi presiden ASERO Wordlwide.

Doron Bergerbest-Eilon, seorang bekas pegawai kanan keselamatan dalam Israeli Security Agency (ISA). Dia merupakan bekas ketua bahagian perlindungan dan keselamatan dan menjawat pangkat yang lebih kurang sama dengan mejar jenderal. Dedikasinya terhadap agensi perisikan Israel membawa dirinya dianugerahkan Pingat Penghargaan Pengarah oleh Agen Perisikan Amerika Syarikat.

Mara Hedgecoth, anak perempuan Ceo APCO dan Presiden Margery Kraus turut menjawat jawatan dalam ASERO sebagai Naip Presiden. Dalama masa yang sama Mara Hedgecoth turut berkhidmat sebagai Naib Presiden dan Pengarah APCO Worldwide.

Naib Presiden Kanan ASERO, Carl Truscottmerupakan sosok tubuh yang tercalar imejnya sewaktu dibawah pentadbiran Bush. Carl Truscottmerupakan bekas Pengarah Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan Amerika Syarikat.

Tetapi dia melatakkan jawatan pada Ogos 2006 setelah terbit laporan dari Jabatan Keadilan Amerika Syarikat yang mendapati dia telah membazirkan ribuan dollar dengan berbelanja mewah, membazirkan jutaan dolar dengan keputusan-keputusan sesuka hati serta melanggar piawaian dengan mengarahkan pekerjanya membantu anak saudaranya dalam projek video di sekolah tingginya.

Hubungan dengan Israel

ASERO Worldwide menasihati agensi awam dan tentera Israel dalam hal cabaran strategi dan taktik keselamatan serta menyediakan bantuan terhadapkerajaan dan pihak korporat bagi menyediakan, meringankan dan memulihkan daripada ancaman keganasan dan risiko bahaya lainnya, juga melindungi penghidupan dan aset penting serta memastikan penerusan operasi.

Kakitangan ASERO dipenuhi dengan rekrut daripada Agensi Keselamatan Israel (juga dikenali sebagai Shabak atau Shin Bet) dan juga Mossadyang cukup terkenal itu. Seperti yang kita tahu prosedur piawaian operasi agensi ini dalam menghalang keganasan (counter terrorism) termasuklah dengan menyiksa orang yang dituduh, pembunuhan dan lain-lain lagi.

Pada tahun 2006, APCO dan ASERO memperkenalkan – Pentadbiran Pengangkutan Keselamatan – Transportation Security Administration (TSA) kepada kerajaan Israel, dan membantu membangunkan sistem keselamatan lapangan terbang Israel – Sistem Pengesan Orang Yang Disyaki – Suspect Detection Systems. TSAdireka oleh John Magaw, salah orang perunding kanan yang pernah menjadi pengarah Agensi Perisikan Amerika Syarikat.

Hubungan dengan Singapura

Bukan lagi rahsia bahawa Israel dan Singapura menjalin hubungan tersembunyi dalam kerjasama luar biasa di bidang pertahanan dan perisikan. Kerjasama antara dua buah negara ini dapat dijejak sejak tahun 1960 an lagi/

Di kalangan pengarah kanan dan pegawai pengurusan ASERO, satu-satunya orang yang bukan warga Amerika Syarikat dan warga Israel merupakan warga Singapura.

ASERO dan APCO menyediakan khidmat rundingan terhadap keselamatan dalam negeri Singapura, membantu Singapura dengan khidmat teknikal dan risikan dalam hal ehwal keselamatanruang udara dan angkasa. Khidmat dan kepakaran mereka talah memudah cara perpindahan pantas teknologi keselamatan dan ketenteraan Israel e Singapura.

Kedua-dua syarikat ini juga terlibat dalam mempromosikan penglibatan Israel dalam kerjasama dan penyelidikan berjangka panjang dalam bidang strategik yang mempunyai implikasi keselamatan dan ketenteraan. Antara isntitusinya adalah Yayasan Kajian dan Penyelidikan Industri Singapura-Israel (Singapore-Israel Industrial R&D Foundation - SIIRD) yang ditubuhkan pada tahun1997.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, ASERO aktif terlibat dalam banyak kegiatan pencegahan keganasan (counter terrorism). Di atas nama pertukaran akdemik, ASERO telah ikut terlibat dengan Pusat Sains Tingkah Laku (Centre of Behavioral Science - CBS).Matlamat CBS adalah untuk berkhidmat sebagai "platfom untuk perpindahan dan pertukaran idea-idea dan pengetahuan terkini yang akan menyumbang kepada perubahan hidup individu, organisasi dan juga masyarakat."

1-Malaysia dan slogan Satu Bangsa

Dalam latar belakang ini, terdapat banyak sebab mengapa rakyat Malaysia yang patriotik perlu mempersoalkan kebijaksanaan mengambil khidmat APCO itu. Cukup terang, APCO tidak berkongsi wawasan yang sama tentang pembinaan bangsa(nation). Tidak juga menghairankan untuk APCO tidak berkongsi hasrat, wawasan dan matlamat pembinaan negaa kami. Sebab itulah slogan 1Malaysia tidak bersambut dalam konteks rakyat tempatan.

Fakta sejarah menunjukkan 1-Malaysia berbunyi seperti berbagai "gerakan Satu Bangsa" di seluruh dunia. Malangnya selogan Satu Bangsa tidak dapat dielakkan dikaitkan dengan kecenderungan konservatif.

Seperti yang kita ketahui, slogan Satu Israel merupakancubaan yang gagal untuk menyatukan suatu lanskap politik yang terpisah-pisah. Kemudian ada pula "One Britain" yang menjadi tema kempen ahli-ahli politik pelampau puak kanan parti Konservatif UK dan kumpulan-kumpulan anti penghijrahan orang luar ke dalam negara.

DI Australia, bekas perdana menteri John Howardmerangka dasar One-Australia pada tahun1980an. Maksudnya One-Australia membawa makna anti keragaman budaya dan mendesak Australia mengekalkan penguasaan orang kulit putih Anglo-Saxons.

Slogan One-Australia perdana menteri Howard kemudiannya diangkat oleh ahli politik rasisPauline Hanson yang menubuhkan One-Nation Party. Satu-satunya platfom parti ini berpandukan retorik dan dasar anti orang luar dan anti penghijrah.

Menyerahkan Kedaulatan Malaysia

Setahun selepas dilancarkan, konsep 1-Malaysia masih lagi terlalu kabur buat kebanyakan rakyat Malaysia. Meskipun slogan tersbeut telah menghasilkan caka-cakap dan kegiatan tetapi ia langsung kosong isi pemikirannya.

Malah, rakyat Malaysia tanpa mengira etnik sama-sama kehilangan arah dalam mentera retorika ini. Kesan rasa selamat tidak cukup untuk menutup kekecewaan terhadap tiadanya tindakan dalam menangani isu sebenar yang memberi kesan terhadap bangsa dan negara seperti rasuah, menurunnya proruktiviti, kemiskinan, perpaduan nasional dan lainlain.

Keprihatinan kami bukan sahaja soal pembaziran wang pembayar cukai dalam perbelanjaan pengiklanan yang menakjubkan, papan tanda,lagu, konsert, pertandingan menulis esi dan lain-lain lagi. Kita mesti melihat kepada paling asasi sejauhmana selamatnya negara apabila kita dengan secara sukarelanya mendedahkan struktur kakitangan pegawai kerajaan terhadap firma swasta dengan kepentingan asing yang cukup kuat?

Dalam menjalankan tugasnya, APCO telah diberikan hak untuk mendapatkan bahan-bahan sensitif milik kerajaan yang saya percaya kebanyakan rakyat Malaysia.dinafikan hak untuk mendapatkan bahan-bahan sensitif tersebut.Maka sungguh cetek dan lurus bendul lah kita untuk percaya APCO akan mengendalikan rahsia negara secara profesional, khusunya apabila kita sedang berkonflik dengan kuasa global.

Saya berharap ahli-ahli parlimen dan para pemimpin BN memberi perhatian dalam isu yang amat serius ini. Jika kamu benar-benar patriotik, bangun sekarang. Tolonglah jangan serahkan nasib Malaysia ke tangan kuasa asing.

Tian Chua adalah Ahli Parlimen Batu dan Pengarah Strategik PKR.

Khamis, 1 April 2010

Siaran Langsung: Forum Pencabulan Amalan Federalisme


Kalau tak dapat hadir, boleh layari http://tvselangor.com/v2/ untuk menonton siaran langsung.

*Ralat: Dato' Paduka Haji Husam Musa tidak dapat menghadiri Forum ini atas sebab yang tidak dapat dielakkan. harap maklum.